Gambar Masjid Nabawi ini diambil dari tingkat atas Hotel Wefada semasa saya mengerjakan umrah. Hotel ini telah selamat diratakan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan di sekitarnya.
Kami tiba di kota suci Madinah setelah beberapa minggu di kota suci Mekah. Kumpulan kami, para-para haji dan hajjah berada di sini selama lapan hari. Teruja saya bila sampai di Madinah dan terpandang akan masjid Nabawi amat mengusik jiwa.
Kami tiba di penginapan dan diatur untuk tinggal seramai empat orang sebilik. Salah seorang daripada rakan sebilik telah memohon dengan TH untuk tinggal bersama suaminya maka kami tinggal bertiga sahaja. Bilik tersebut selesa juga. Kalau di Mekah kami boleh berhimpit-himpit tujuh orang sebilik masa kan di Madinah kami mahu komplen lagi. Jarak antara tempat penginapan dengan masjid Nabawi juga tidak jauh sekitar 150 meter sahaja. Itu adalah pendekatan yang diambil TH. Kalau di Mekah penginapan jauh dengan masjid maka di Madinah jarak antara masjid dengan penginapan didekatkan.
Sepanjang berada di Madinah, saya banyak menghabiskan masa berada di masjid, singgah di Raudah. Peluang sebegini bukan selalu datang menerjah. Jadi gunalah ia sebaik mungkin.
Saya juga seperti jemaah lain mengalami gangguan kesihatan, batuk-batuk, gatal-gatal badan terutama dibahagian betis, selsema dengan hingusan lambat kering sudah menjadi kelaziman semasa mengerjakan ibadat haji mahupun umrah.
Ada juga lawatan-lawatan ke tempat-tempat bersejarah, ladang kurma diaturkan. Walaupun sudah pernah beberapa kali menziarahi namun saya tidak jemu untuk pergi lagi.
Semakin hari semakin kurang jemaah di masjid, ramai yang sudah pulang ke negara masing-masing.
Kebanyakan yang masih tinggal adalah para-para Haji dan Hajjah daripada Malaysia.
Hari-hari terakhir saya di sana...sayu, sedih, gembira, semua perasaan ini bercampur baur. Bila kah lagi saya akan berpeluang untuk berkunjung, bertamu di kota-kota suci ini? Itulah pertanyaan yang terdetik ketika itu. Alhamdulillah, Allah swt menyayangi saya, diberi rezeki, peluang, kesihatan yang baik untuk datang lagi menziarahi rumah Allah swt selepas itu.
Hari untuk kami berangkat pulang ke tanahair tercinta muncul jua. Kebanyakan kami, bag-bag pakaian sudah beranak-pinak. Kalau dahulunya datang dengan satu bag besar dan satu bag galas, kini sudah bertambah bilangannya.
Sebelum pulang ke tanahair kami bermalam untuk satu malam di Madinatul Hujjaj. Madinatul Hujjaj merupakan satu tempat untuk menimbang barang-barang jemaah haji. Di sini akan ditentukan samaada jemaah haji akan dikenakan bayaran sekiranya bag -bag mereka melebihi had timbangan. Saya adalah di antara jemaah yang kena bayar.
Jemaah Haji menunggu untuk pulang ke Malaysia
dengan penuh sabar.
Setelah menunggu agak lama di airport maka masa untuk pulang ke Malaysia sudah sampai. Kami jemaah haji dari kumpulan ketiga terakhir berlepas pulang daripada airport haji Jeddah menaiki pesawat airasia dan telah selamat tiba di KLIA pada hari dan masa yang ditetapkan.
Apabila sampai di KLIA dan segala urusan imigrasi selesai, saya nampak 'orang itu' sudah siap sedia menunggu dan adegan peluk cium rindu membara berlangsung. Pada sebelah petangnya saya menaiki pesawat MAS untuk pulang ke kampung halaman berjumpa dengan orang-orang tersayang.
Setelah kesemua penerbangan-penerbangan pulang jemaah haji Malaysia berakhir, berlaku serangan ke atas sebuah negara di rantau teluk. Pengakhiran era Sadam Hussein bermula dan kini sudahpun berkubur.
Mohon diizin dan dihalalkan gambar jemaah dikongsi di sini. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment