Friday, 5 October 2012

musim haji tiba lagi 0.1


 "HambaMu telah datang menyambut
panggilanMU Ya Tuhan
hambaMu datang menyambut
panggilanMu
Sesungguhnya segala puji-pujian, nikmat
dan kerajaan adalah kepunyaanMu
dan tidak ada sekutu bagiMu"


Musim muslimin dan muslimat di seluruh pelusuk dunia menunai haji sudah bermula.  Selamat mengerjakan ibadat haji dengan khusyuk dan tawaduk.  Semoga pemergian dan kepulangan sejahtera hendaknya dan dianugerah  haji  mabrur, amin.

Alhamdulillah, saya sudahpon selamat pergi haji pada tahun 2003 di usia yang mengjangkau 40 tahun.  Saya pergi dengan dua lagi rakan perempuan.  Mereka berdua merupakan emak dengan anak.

Kami pergi melalui sistem muasassah Tabung Haji dan kumpulan kami adalah yang ketiga terakhir berlepas ke tanah suci dengan menaiki pesawat airasia.  Jadinya kami melakukan haji ifrad yang mana memerlukan kami berada dalam ihram lebih lama dan kena menjaga pantang larangnya secermat mungkin.

Apabila sampai di Jeddah dan setelah segala urusan di airport selesai, kami menaiki bas ke kota suci Mekah dan ditempatkan di penginapan Maktab 81.


Semasa ketibaan jemaah di airport  Jeddah.
Kami dikumpulkan dan berihat seketika sebelum
di bawa ke maktab penginapan masing-masing.


Pada mulanya saya merasakan susahnya hendak lakukan haji ifrad ini,  lama juga berada dalam pantang.  Oleh kerana boleh dikatakan semua dalam kumpulan kami melakukan haji ifrad maka kerisauan saya sedikit terhakis dan lama-kelamaan mula rasa yakin dengan kemampuan diri.

Kami saling ingat-mengingati, pesan-memesan antara satu sama lain sekiranya timbul permasaalahan, kemusykilan dan sekiranya  kami  tidak mempunyai jawapan memuaskan, kami akan berjumpa dengan pegawai-pegawai Tabung Haji yang sangat membantu.  Terima kasih yang tidak terhingga.  Kalian semua terbaik.  Pegawai-pegawai Tabung Haji di Maktab 81 adalah daripada TH Sabah.


Bercerita pasal tempat penginapan,  Maktab 81 terletak sederhana jauhnya  dengan MasjidilHaram, berjalan kaki lebih kurang 20 minit.   Namun demikian semangat Haji itu sendiri telah membuat saya sentiasa kuat.  Setiap hari  itulah kerjanya ulang-alik dari Maktab ke MasjidilHaram tanpa rasa sedikit jemupun.


Disebabkan kami pergi dengan cara muasassah maka kemudahan-kemudahan disediakan  cara muasassah jua, bersesuaian dengan harga yang dibayar. Di dalam satu unit ada dua bilik tidor dan satu bilik air. Disediakan katil, selimut dan bantal.  Kami ditempatkan seramai tujuh orang dalam satu bilik, dua bilik jumlahnya empatbelas orang.  Empatbelas orang berkongsi satu bilik air. Di dalam bilik-bilik tersebut  jemaahnya pelbagai peringkat umur, jadinya macam-macam, tetapi yang macam-macam itu tidak memudarat pun,  aktiviti harian berjalan seperti biasa, gangguan-gangguan kecil itu ditepis bersama angin lalu sahaja.

Hendak dijadikan cerita, hari pertama kami tiba, kami dihidangkan dengan juadah yang disediakan oleh pihak  kendalian TH. Kalau tidak silap ingatan saya juadahnya nasi putih, sayuran, daging begitulah.   Tidak beberapa lama kemudian saya tersedar dari tidor,  perut saya memulas sakit teramat sangat, tiba-tiba rasa hendak membuang.  Rupanya bukan saya seorang yang mengalami, keempatbelas kami mengalami cirit-birit.  Masing-masing bergegas ke bilik air yang satu. Allah swt sahaja yang tahu bagaimana keadaan kami ketika itu.  Saya, Alhamdulillah sakit yang dialami sekejap sahaja setelah makan ubat yang dibawa daripada Malaysia.

Bila berada dalam ihram maka pantang larang kena patuhi, terlanggar pantang larang kena pula bayar dam.  Jadi segala perlakuan, tindak tanduk masing-masing kena awasi dan beringat selalu. Nafsu-nafsi hendak bergambar atau 'tawaf' kedai pun saya tidak teruja ketika ini.  Fokus saya pada ibadat  paling utama sekali.  Yang penting  ihram kena jaga, pantang larang kena patuhi.  Bila sudah tamat tempohnya baru rasa lega dan ada sedikit kelapangan.

Satu insiden yang dialami di dalam MasjidilHaram.  Seingat saya ia berlaku sebelum masuk waktu subuh beberapa hari sebelum hari Wukuf, ketika itu jemaah-jemaah tidak kira daripada negara mana, apa kaler kulit sekali pun sudah melimpahi kota Mekah apatah lagi berada di dalam MasjidilHaram. Mereka  sibuk melakukan aktiviti masing-masing, ada yang berumrah, bertawaf sunat , seie dan lain-lainya.  Saya pada masa itu berada di saf yang hadapan, posisi sebelah tepi sekali, sedang merenung kaabah sambil berselawat. Kalau hendak mendapat pot terbaik ini perlu bergerak daripada maktab penginapan ke masjid seawal jam 1 pagi.


Tiba-tiba saya terkejut,  saya dengar 'gedebuk' macam ada benda berat jatuh atas lantai di antara saf saya dengan saf yang belakang.  Malah  jemaah  indonesia di belakang saya juga  terperanjat sama.
Saya toleh ke belakang dan saya dapati satu bag panjang kaler biru gelap, macam 'cover' yang kita letak slim diari berada di atas lantai masjid. Isi yang berada di dalam bag tersebut tebal juga.  Lantas jemaah indonesia ambil bag tersebut dan didapati di dalamnya berkepuk-kepuk wang rupiah indonesia.  Ada antara jemaah indonesia yang keciciran bag tersebut.  Mereka cuba mencari kalau-kalau ada informasi pemunya bag dan wang tersebut.  Yang ada cuma nama sahaja tanpa sokongan alamat maupon nombor telefon dan sebagainya. Sukar  hendak mengenalpasti empunya siapa.  Saya hanya mampu berdoa di hadapan kaabah agar wang itu dapat kembali kepada pemiliknya,  kalau tidak maka ia bukan rezekinya, tapi amat-amat kesian mungkin wang itu sahaja yang jemaah ini ada.  Cuba bayangkan,  kalau kita yang  berada di tempat pemilik yang kehilangan ini.

Jujurnya saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu kerana saya sudah tidak ketemu lagi dengan jemaah indonesia yang duduk di saf belakang saya.  Ini adalah kali kedua saya terduga dengan pengalaman sebegini di tanah haram, pertama kalinya berlaku di Madinah kini di Mekah pula, di tahun yang berbeza.

Teramat penting, di dalam bag sandang, bag pakaian, bag duit sekali pun perlu ada maklumat-maklumat lengkap berserta foto diri.  Sekiranya perkara sebegini berlaku ia senang untuk diuruskan.

Tercabar juga mengerjakan haji ini.  Musim saya pergi ini, kerajaan Arab Saudi telah menggandakan kuota jemaah.  Jemaah Malaysia tahun-tahun sebelumnya cuma 25,000+ orang sahaja tetapi pada kali ini telah dibenarkan kepada 50,000+ orang.  Ini tidak termasuk jemaah daripada negara-negara lain.

Yang pasti, seramai manapun limpahan umat manusia di kota-kota suci ini, pasti ada ruang untuk semua umat yang dijemput Allah swt ke rumahnya,  untuk beribadat.


 
Mohon diizin dan dihalalkan gambar dikongsi di sini.  Terima kasih.



No comments:

Post a Comment