Saturday, 6 October 2012

musim haji tiba lagi 0.2



Gambar-gambar kenangan yang hanya beberapa keping ini mengimbau kembali momen-momen itu.




Wukuf di Arafah.  Di awal pagi sebelum matahari terik.  Sebenarnya saya demam pada masa ini, tetapi semangat hendak buat haji berkobar-kobar, saya lupakan seketika demam itu.  Doa yang berterusan, alhamdulillah ibadat dipermudahkan dan berjalan  lancar walaupun ada sedikit gangguan pengangkutan ke Mudzalifah dan Mina.

Rebutlah peluang bila berwukuf di Arafah.  Sebaiknya lakukan qiamulai, berdoa, baca quran, berzikir, bertalbiah, berselawat.  Bagi setengah orang wukuf di Arafah ini datang hanya sekali dalam seumur hidup.  Ada juga yang dikurnia rezeki lebih dan dijemput Allah swt bertamu lagi di Arafah.  Nasib manusia berbeza.

Masaalah pengangkutan berlaku apabila jemaah hendak mabit di Mudzalifah.  Berlaku kelewatan bas untuk bawa kami ke sana.  Lama juga kami menunggu bas-bas yang sepatutnya dinaiki tidak muncul. Untuk memastikan kami sampai di Mudzalifah pada masa yang ditetapkan maka pegawai-pegawai terbabit menumpangkan kami dengan menaiki bas jemaah lain.  Tidak mengapa janji kami sampai pada waktunya.

Sesudah sampai di Mudzalifah, kami lakukan rutin sepatutnya,  jua mengutip anak-anak batu untuk melontar, kami tunggu pula bas yang akan membawa kami ke Mina. Dari pagi hingga tengahari bas tidak muncul.  Kami menjadi resah, bayangkan pada waktu itu di Mudzalifah tiada  pokok-pokok untuk  kami berteduh dari panas terik mentari. ia seolah-olah padang jarak padang terkukur dengan lautan manusia berpakaian serba putih memenuhi kawasan itu.  Gambarannya semacam di padang masyar.

Di saat itu saya terbayang yang pada hari tersebut  rakyat Malaysia sedang merayakan Hari Raya Aidil Adha.  Tiba-tiba perasaan jadi sebak teringatkan orang-orang tersayang di kampung.  Saya dan jemaah lain masih berada dalam ihram dan sedang berjuang untuk melaksanakan ibadat haji.

Mahu tidak mahu kami kena ambil initiatif sendiri, cari alternatif lain.  Dengan mengusung bag kecil, saya dan rakan-rakan sebilik berjalan dan menunggu di tepi jalan, kalau-kalau ada bas yang membawa jemaah pakej Malaysia yang sudi tumpangkan kami separuh jalan pun jadi lah.  Jemaah pakej tidak terbabit dengan masaalah pengangkutan hanya jemaah muasassah sahaja yang mengalaminya.

Akhirnya ada satu bas pakej Malaysia, (saya sudah lupa pakej ini dari agensi mana), telah sudi untuk tumpangkan sejauh yang mereka boleh bawa kami.  Alhamdulillah,  kami bersyukur sangat-sangat.

Keadaan jalanraya menuju Mina amat sesak, adakalanya bas tidak bergerak langsung.  setelah sekian lama berada dalam bas, kami memutuskan untuk turun dari bas tersebut dan  berjalan kaki menuju khemah penginapan. Perjalanan untuk sampai ke khemah kami jauh juga.  Terima kasih tidak terhingga kepada semua jemaah pakej tersebut,  juga kepada mutawifnya dan pemandu bas kerana telah bermurah hati dan sudi membantu kami. Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas jasa budi baik kalian semua.

Kami sampai Mina akhirnya dalam keadaan letih lesu tapi tetap bersemangat.  Kami tumpang bas separuh jalan, selebihnya berjalan kaki menuju ke khemah kami.  Satu pengalaman yang sangat berharga.

Arafah...sedang menunggu bas untuk bergerak
ke Mudzalifah

Mudzalifah...sempat lagi berposing.  Sekejap lagi
bas yang ditunggu tidak kunjung tiba

Mina...berdoa, bermunajat...kena rebut peluang emas ini
 Kami pergi melontar di Jamratul Aqabah selepas asar. Melontar yang ini wajib dan kami menempuhi lautan manusia lagi, saya terhimpit dengan jemaah arab, afrika yang memiliki saiz badan yang besar.  Saya ini lampai juga tapi mereka lagi lampai dan bagak. Tempat melontar ketika itu hanya dua tingkat.  Kami tidak berpeluang melontar di tingkat bawah, terlalu sesak.  Jadi kami kena melontar di tingkat atas, di sini pun boleh tahan sesaknya.

Dalam keadaan berasak-asak mendekati tempat melontar, didapati banyak sangat selipar-selipar, samada jemaah yang tertanggal selipar tersebut ataupun selipar itu  dilontar oleh jemaah ke dalam tempat melontar tapi tidak masuk.  Terasa lembut lutut bila terpijak selipar yang banyak itu tetapi saya gagahkan diri, tidak boleh jatuh.  Kalau jatuh makanya bencana menimpa, akan dirempuh oleh jemaah lain dari belakang.

Setelah selesai melontar kami bertahalul dengan bergunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut.  Apabila selesai bertahalul maka kebanyakan pantang larang telah dibebaskan kecuali bersetubuh, bercumbuan dan bernikah.

Setiap kali saya selesai melontar, saya dengan sekuat hati akan menjerit "Alhamdulillah" banyak-banyak kali.  Orang arab akan faham yang kita sudah selesai urusan melontar bila kita jerit "Alhamdulillah", dan dengan rela hati mereka akan beri jalan dan menarik kita keluar daripada tempat itu.  Pesanan ini datangnya daripada pegawai-pegawai TH.

Setelah urusan bermalam serta beribadat di Mina dan melontar di ketiga-tiga Jamratul selesai maka kami berangkat pulang ke Mekah dan perlu melakukan tawaf haji untuk menyempurnakan rukun/wajib haji dan bebas daripada pantang larang sepenuhnya. 

Setelah ibadat haji selesai, ramai jemaah-jemaah haji berangkat pulang ke negara masing-masing, ada juga menuju ke Madinah.  Banyak maktab penginapan berdekatan MasjidilHaram telah ditutup dan keadaan di jalan-jalan sekitar  lengang. Kami jemaah wanita yang tinggal tidak berdekatan dengan masjid  kerisauan hendak meredah jalan yang sunyi di waktu dini hari. Hendak tak hendak kami kena tunggu jemaah lain di lobi maktab untuk jalan bersaing ke masjid dalam kumpulan yang besar.

Sebelum berangkat ke Madinah rutin-rutin mengerjakan umrah dilakukan, lawatan-lawatan ke tempat bersejarah juga diatur.  Kami juga pergi 'makan angin' ke Jeddah.


Untuk sekian kalinya Masjid Terapung dan
JabbarRahmah antara yang dilawati.



Foto-foto berikut dirakam di Mekah setelah jemaah selesai mengerjakan ibadah haji.




Terasa berat hati dan sayu untuk meninggalkan kota suci Mekah Mukarammah.  MasjidilHaram, kaabah, pasar zink dan semuanya saya tinggalkan, dengan kenangan-kenangan yang sehingga kini masih segar di minda.  Pergi lah ke ceruk pelusuk dunia mana sekali pun, kota suci ini yang kerap dikunjungi.  Subhanallah...indahnya.




 Mohon diizin dan dihalalkan gambar jemaah dikongsi di sini.  Terima kasih.

No comments:

Post a Comment