Saturday, 27 October 2012

hari raya haji...juadahnya, suasananya...


Hari Raya Haji atau disebut Hari Raya qurban juga dikenali sebagai Hari Raya Aidil Adha disambut pada 26hb Oktober 2012, hari Jumaat yang mulia, penghulu segala hari.
 
Di tempat saya, suasana sambutan boleh dikatakan meriah.  Pastinya perantau-perantau yang bekerja di luar negeri ini akan pulang untuk sama-sama berhari raya dengan sanak saudara dan melakukan ibadah qurban di kampung halaman tercinta, sementelah cuti sempena hari raya dan juga cuti hujung minggu yang agak panjang.
 
Terimbau kembali kenangan sembilan tahun lalu,  saat-saat wukuf di Arafah..bermalam di Mudzalifah...melontar di Mina, itu adalah kemuncaknya.  Sebak pula mengenang kembali detik-detik itu biarpun ianya berlaku hanya sekali dalam seumur hidup.  Payah untuk menyatakan dengan kata-kata cuma kegetiran, keinsafan, keindahan...diri ini sahaja yang mampu menyelami serta mengalaminya.
 
Kebiasaannya hari-hari istimewa sebegini, semestinya juadah-juadah yang disediakan agak istimewa dan lazat.  Faham-faham sahaja kolesterol pun tinggi.  Apakan daya hari ini adalah tersangat istimewa bagi Haji dan Hajjah khususnya juga seluruh umat islam amnya, di dunia nan fana ini.  Saya berkesempatan menyediakan juadah Nasi Dagang Terengganu berlauk Ayam Masak Kerutup, Gulai Darat Udang dan Acar timun Lobak Merah. 
 
 
 
Pemanis mulut pula adalah Bingka Cheese dan Cotton Cheese Cake.   Sungguh yummy. Sebenarnya bahan-bahan untuk bingka dan kek sudah ada dalam stok, sementelah hendak makan-makan untuk hari istimewa ini maka saya habiskan stok yang ada.  Itu sebab kedua-duanya ada cheese antara bahannya.
 

Bingka Cheese



Cotton Cheese Cake
 
Sementara itu, adik saya menyediakan juadah Lontong.  Masakan Lontong  tidak susah  penyediaannya.  Cumanya banyak lauk-lauk sampingan perlu disediakan untuk iringi juadah lontong ini.
 
 
 
Pemanis mulut  adalah Ketupat Kacang, Ketupat Lemak dan Tapai Pulut.
 
 

Pada hari ini juga ibadah qurban dilakukan.  Kebiasaannya binatang  yakni lembu adalah pilihan utama bagi umat Islam di sini melaksanakan qurban.  Unta  dan  kambing  juga  dijadikan  pilihan.  Ada individu yang terlebih mampu, akan membeli seekor lembu atau lebih untuk menyempurnakan ibadah ini, tetapi kebanyakkannya akan berkongsi seekor lembu dibahagi kepada tujuh bahagian.
 
 
 
Suasana sebegini dapat dirasakan sekali dalam setahun.  Namun kalau tidak silap, sewaktu saya mengerjakan haji tahun 2003,  berlaku dua musim haji pada tahun itu, kali pertama awal tahun dan yang keduanya pada akhir tahun.  Seingat saya,  saya pergi haji pada permulaan tahun dan rakan saya pula pada penghujung tahun 2003.  Dua musim haji dalam satu tahun amat jarang berlaku tetapi tidak mustahil kita akan bersua dua kali Raya Haji pada tahun yang sama.
 

 
kereta-kereta milik peserta-peserta ibadah qurban
tersusun rapi di hadapan rumah kayu ini
 
Di belakang rumah kayu cantik ini, terdapat kawasan lapang dan di sini telah dilakukan ibadah qurban.  Saya tidak pasti berapa ekor lembu yang ditumbangkan di sini, tetapi dari pengamatan saya banyak juga yang dibuat qurban.
 
 
Abang AIG (peminat ManU kah beliau?)
 menenangkan lembu ini, mungkin
beliau berkata-kata 'you're going to heaven my
dear sherrysally...be cool'
Sekadar lawak jenaka...maafkan saya
 
Ibadah  qurban dilakukan pada hari raya haji pertama,  yang  pada  kali  ini  jatuh   pada  hari  Jumaat.  Umum sudah tahu sekiranya aktiviti diadakan hari Jumaat maka ia perlu disegerakan mula dan tamatnya. Ini adalah untuk memberi ruang dan waktu secukupnya untuk muslimin bersiap untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. 
 
Masjid-masjid mengadakan solat sunat Aidil Adha seawal pukul 8.00 pagi untuk memberi laluan kepada ibadah qurban dilaksanakan.  Maklum sahaja ibadah qurban ini aktivitinya berlangsung agak lama.  Alhamdulillah, ia tamat sebelum muslimin bergegas  ke masjid untuk berjumaat.
 
Cuaca pada hari Jumaat  sangat baik sekali, seharian hingga ke malamnya tiada hujan turun malah saya rasakan cerahnya pada hari itu berbeza.  Ini memudahkan kerja-kerja ibadah qurban berjalan lancar tanpa  gangguan lainnya.
 
 
 
Setelah niat dibaca, laungan takbir bergema maka rutin qurban disempurnakan.  Acara melapah, menyiang,  pembahagian daging dilakukan.  Sudah menjadi amalan, daging-daging qurban ini akan disedekahkan kepada penduduk sekitar.  Selebihnya dimasak dan dijamu sanak saudara, jiran tetangga  serta sahabat handai.
 
 
 
Abang 'R' for 'Royalty' menghantar daging qurban
ke rumah adik berdekatan
 
Berakhir dan sempurna sudah ibadah qurban kali ini.  Tahun hadapan insyaAllah, dengan izinNya akan berlangsung lagi ibadah qurban.  Yang terbaik daripadaMu Ya Allah...Yang buruk adalah kekhilafanku jua. 
 
 
 
Mohon izin dan halalkan gambar individu terbabit dikongsi di sini.  Terima kasih.
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 

 
 
 





                                                                                             
                                                                                  
                                                

 


 

 
 

No comments:

Post a Comment