Tuesday, 30 October 2012
Saturday, 27 October 2012
hari raya haji...juadahnya, suasananya...
Hari Raya Haji atau disebut Hari Raya qurban juga dikenali sebagai Hari Raya Aidil Adha disambut pada 26hb Oktober 2012, hari Jumaat yang mulia, penghulu segala hari.
Di tempat saya, suasana sambutan boleh dikatakan meriah. Pastinya perantau-perantau yang bekerja di luar negeri ini akan pulang untuk sama-sama berhari raya dengan sanak saudara dan melakukan ibadah qurban di kampung halaman tercinta, sementelah cuti sempena hari raya dan juga cuti hujung minggu yang agak panjang.
Terimbau kembali kenangan sembilan tahun lalu, saat-saat wukuf di Arafah..bermalam di Mudzalifah...melontar di Mina, itu adalah kemuncaknya. Sebak pula mengenang kembali detik-detik itu biarpun ianya berlaku hanya sekali dalam seumur hidup. Payah untuk menyatakan dengan kata-kata cuma kegetiran, keinsafan, keindahan...diri ini sahaja yang mampu menyelami serta mengalaminya.
Kebiasaannya hari-hari istimewa sebegini, semestinya juadah-juadah yang disediakan agak istimewa dan lazat. Faham-faham sahaja kolesterol pun tinggi. Apakan daya hari ini adalah tersangat istimewa bagi Haji dan Hajjah khususnya juga seluruh umat islam amnya, di dunia nan fana ini. Saya berkesempatan menyediakan juadah Nasi Dagang Terengganu berlauk Ayam Masak Kerutup, Gulai Darat Udang dan Acar timun Lobak Merah.
Pemanis mulut pula adalah Bingka Cheese dan Cotton Cheese Cake. Sungguh yummy. Sebenarnya bahan-bahan untuk bingka dan kek sudah ada dalam stok, sementelah hendak makan-makan untuk hari istimewa ini maka saya habiskan stok yang ada. Itu sebab kedua-duanya ada cheese antara bahannya.
Bingka Cheese
Cotton Cheese Cake
Sementara itu, adik saya menyediakan juadah Lontong. Masakan Lontong tidak susah penyediaannya. Cumanya banyak lauk-lauk sampingan perlu disediakan untuk iringi juadah lontong ini.
Pemanis mulut adalah Ketupat Kacang, Ketupat Lemak dan Tapai Pulut.
Pada hari ini juga ibadah qurban dilakukan. Kebiasaannya binatang yakni lembu adalah pilihan utama bagi umat Islam di sini melaksanakan qurban. Unta dan kambing juga dijadikan pilihan. Ada individu yang terlebih mampu, akan membeli seekor lembu atau lebih untuk menyempurnakan ibadah ini, tetapi kebanyakkannya akan berkongsi seekor lembu dibahagi kepada tujuh bahagian.
Suasana sebegini dapat dirasakan sekali dalam setahun. Namun kalau tidak silap, sewaktu saya mengerjakan haji tahun 2003, berlaku dua musim haji pada tahun itu, kali pertama awal tahun dan yang keduanya pada akhir tahun. Seingat saya, saya pergi haji pada permulaan tahun dan rakan saya pula pada penghujung tahun 2003. Dua musim haji dalam satu tahun amat jarang berlaku tetapi tidak mustahil kita akan bersua dua kali Raya Haji pada tahun yang sama.
kereta-kereta milik peserta-peserta ibadah qurban
tersusun rapi di hadapan rumah kayu ini
Di belakang rumah kayu cantik ini, terdapat kawasan lapang dan di sini telah dilakukan ibadah qurban. Saya tidak pasti berapa ekor lembu yang ditumbangkan di sini, tetapi dari pengamatan saya banyak juga yang dibuat qurban.
Abang AIG (peminat ManU kah beliau?)
menenangkan lembu ini, mungkin
beliau berkata-kata 'you're going to heaven my
dear sherrysally...be cool'
Sekadar lawak jenaka...maafkan saya
Ibadah qurban dilakukan pada hari raya haji pertama, yang pada kali ini jatuh pada hari Jumaat. Umum sudah tahu sekiranya aktiviti diadakan hari Jumaat maka ia perlu disegerakan mula dan tamatnya. Ini adalah untuk memberi ruang dan waktu secukupnya untuk muslimin bersiap untuk menunaikan solat fardhu Jumaat.
Masjid-masjid mengadakan solat sunat Aidil Adha seawal pukul 8.00 pagi untuk memberi laluan kepada ibadah qurban dilaksanakan. Maklum sahaja ibadah qurban ini aktivitinya berlangsung agak lama. Alhamdulillah, ia tamat sebelum muslimin bergegas ke masjid untuk berjumaat.
Cuaca pada hari Jumaat sangat baik sekali, seharian hingga ke malamnya tiada hujan turun malah saya rasakan cerahnya pada hari itu berbeza. Ini memudahkan kerja-kerja ibadah qurban berjalan lancar tanpa gangguan lainnya.
Setelah niat dibaca, laungan takbir bergema maka rutin qurban disempurnakan. Acara melapah, menyiang, pembahagian daging dilakukan. Sudah menjadi amalan, daging-daging qurban ini akan disedekahkan kepada penduduk sekitar. Selebihnya dimasak dan dijamu sanak saudara, jiran tetangga serta sahabat handai.
Abang 'R' for 'Royalty' menghantar daging qurban
ke rumah adik berdekatan
Berakhir dan sempurna sudah ibadah qurban kali ini. Tahun hadapan insyaAllah, dengan izinNya akan berlangsung lagi ibadah qurban. Yang terbaik daripadaMu Ya Allah...Yang buruk adalah kekhilafanku jua.
Mohon izin dan halalkan gambar individu terbabit dikongsi di sini. Terima kasih.
memori madain saleh 0.8
Kaum Tsamud mula mengatur strategi pembunuhan unta Nabi Saleh a.s dan melenyapkan unta tersebut dari muka bumi mereka. Maka bertambah semangat mereka untuk membunuh unta itu setelah munculnya seorang janda bangsawan yang akan menyerah dirinya kepada sesiapa yang dapat membunuh unta tersebut.
Selain janda itu, seorang lagi wanita yang mempunyai puteri-puteri cantik menawan menawarkan hadiah salah seorang puteri beliau kepada yang berjaya membunuh unta Nabi Saleh a.s. Tawaran-tawaran telah dapat mempengaruhi dua lelaki iaitu Mushadda' bin Muharrij dan Gudar bin Salif dibantu tujuh lelaki lainnya membunuh unta tersebut yang dalam perjalanan ke tempat minumnya. Musadda' telah memanah betis unta dan Gudar pula menikam perut unta dengan pedangnya.
Nabi Saleh a.s sangat marah dan telah memberitahu kaumnya bahawa azab Allah swt akan menimpa ke atas mereka dan tanda-tanda azab itu, pada hari pertama bila mereka bangun dari tidur, wajah mereka menjadi kuning, akan berubah menjadi merah pada hari kedua dan bertukar hitam pada hari ketiga. Hari keempatnya maka akan turunlah azab Allah swt yang amat pedih.
Sehari sebelum turun azab Allah swt yang telah ditentukan, Nabi Saleh a.s bersama pengikut setianya telah berangkat menuju Ramallah, sebuah tempat di Palestin meninggalkan kota Al-Hijr. Kaum Tsamud yang lain telah habis binasa ditimpa halilintar yang maha dasyat beriringan gempa bumi yang amat mengerikan.
Di sebelah kiri adalah pemandangan di Madain Saleh,
sebelah kanan pula di Petra, Jordan
Belahan gunung-ganang ini, seakan serupa bentuknya
Daripada kisah di atas maka dapatlah kita jadikan ia sebagai pengajaran dan iktibar bahawa dosa-dosa dan perbuatan mungkar yang dilakukan sekelompok kecil masyarakat dapat membinasakan masyarakat itu seluruhnya. Lihatlah bagaimana Kaum Tsamud menjadi binasa, hancur bahkan hilang terus dari muka bumi kerana dosa-dosa segelintir manusia yang telah membunuh unta Nabi Saleh a.s. Wallahua'lam.
Sumber artikel : hasanalsaggaf.wordpress.com
Mohon izin dan halalkan artikel dan gambar rombongan dikongsi di sini. Terima kasih.
Thursday, 25 October 2012
raya haji raya qurban raya aidil adha...
...Selamat Hari Raya Aidil Adha...
kerja hajiku 9 tahun yang lalu
nostalgia itu
Arafah...aku rindu
apakan dayaku
hanya seketika kita ketemu
apakah masih ada ruangku
bercumbu denganmu
Mohon Izin dan halalkan kad ucapan dikongsi di sini. Terima kasih.
memori madain saleh 0.7
Cuaca panas terik memungkinkan bayang
diriku dirakam lensa kamera
Kaum Tsamud telah menolak ajakan dan seruan beliau. Sebahagian kecil kaum tersebut terdiri daripada yang berkududukan sosial lemah menerima dakwah Nabi Saleh a.s dan beriman kepadanya sedangkan sebahagian besar lagi kaum Tsamud yang berkedudukan tinggi dan kaya raya enggan dan membangkang serta menolak ajakan Nabi Saleh a.s bahkan mengingkari kenabiannya.
Kaum Tsamud telah berusaha keras untuk menghentikan usaha dakwah Nabi Saleh a.s tetapi gagal bahkan dilihatnya Nabi Saleh a.s giat menarik pengikut-pengikutnya yang tertarik dengan dakwahnya. Kaum Tsamud golongan atasan terutamanya berusaha menyekat arus dakwahnya yang telah mula mendapat perhatian golongan menengah dan bawahan dalam masyarakat. Mereka menentang Nabi Saleh a.s dan meminta beliau bukti akan mukjizat kebenaran kenabiannya dalam bentuk benda atau kejadian luarbiasa di luar kekuasaan manusia.
Maka Nabi Saleh a.s memohon kepada Allah swt agar memberinya satu mukjizat untuk membuktikan kebenaran dakwahnya dan sekaligus mematahkan tentangan kaum degil ini. Ia memohon kepada Allah swt dengan kekuasaanNya menciptakan seekor unta betina yang keluar dari batu karang besar yang terdapat di sisi bukit yang mereka tunjuk.
Dengan menunjuk kepada binatang yang baru keluar dari perut batu karang besar maka berkata-katalah Nabi Saleh a.s kepada mereka:
"Inilah dia unta Allah swt, janganlah kamu ganggu dan biarkanlah dia mencari makanannya sendiri di atas bumi Allah swt. Dia mempunyai giliran untuk mendapatkan air minuman dan kamu mempunyai giliran untuk mendapatkan minuman bagimu dan bagi ternakanmu juga dan ketahuilah bahawa Allah swt akan menurunkan azabNya apabila kamu mengganggu binatang ini".
Unta itu pun berjalan di ladang-ladang rumput tanpa gangguan. Pada hari-hari giliran unta itu datang minum, tiada seekor binatang lain berani menghampiri. Ini telah menimbulkan rasa tidak senang kepada yang lain dan mereka merasakan bahawa adanya unta Nabi Saleh a.s adalah gangguan bagi mereka. Maka timbullah niat busuk mereka untuk membunuh unta Nabi Saleh a.s.
Sumber artikel : hasanalsaggaf.wordpress.com
Mohon izin dan halalkan artikel serta gambar jemaah rombongan dikongsi di sini.
Terima kasih.
Wednesday, 24 October 2012
memori madain saleh 0.6
Allah swt yang maha pengasih lagi maha penyayang tidak sesekali membiarkan hamba-hambaNya berada dalam kegelapan berterusan, tanpa diutus pesuruh atau nabi untuk memberi penerangan dan memimpin mereka untuk keluar dari jalan kesesatan kepada jalan yang benar dan diredhai. Allah swt juga tidak akan menurunkan azab dan siksaan kepada umatNya sebelum mereka diberi peringatan, dan diutuskan kepada mereka seorang nabi yang terpilih untuk menjadi utusan dan rasulNya.
Sunatullah ini berlaku kepada kaum Tsamud. Mereka telah diutuskan Nabi Saleh a.s, seorang yang telah dipilihNya dari suku mereka sendiri, dari keluarga mereka sendiri, dari golongan mereka jua yang dipandang dan dihormati oleh kaumnya. Nabi Saleh a.s terkenal tangkas, bijak, pandai, rendah hati dan ramah mesra dalam pergaulan.
Batu-batu kecil halus ini, jemaah dibenarkan
ambil sebagai cenderahati kenang-
kenangan
Sedang membandingkan batu siapa paling besar!
Sekadar lawak selingan, mohon ampun...
Nabi Saleh a.s mengajak kaumnya siang dan malam kepada jalan yang benar. Beliau berseru dan menganjurkan agar kaumnya segera meninggalkan penyembahan berhala dan percaya serta beriman kepada Allah swt serta bertaubat dan memohon keampunan daripadaNya atas dosa-dosa dan perbuatan syirik yang telah mereka lakukan selama ini.
Sumber artikel : hasanalsaggaf.wordpress.com
Mohon izin dan halalkan artikel serta gambar rombongan dikongsi di sini.
Terima kasih.
memori madain saleh 0.5
'Madain' adalah kata majmuk dari Madinah dalam bahasa arab adalah 'kota'. 'Saleh' pula diambil dari nama Nabi Saleh a.s yang merupakan salah seorang nabi dan rasul dalam Islam yang telah diutus kepada kaum Tsamud.
Kaum Tsamud adalah suku bangsa Arab yang tinggal di satu kota dikenali 'Al-Hijr', terletak antara Hijaz dan Syam. Mereka adalah dari keturunan Sam bin Nuh a.s. 'Al-Hijr' merupakan perkampungan kaum Tsamud yang satu ketika dahulu subur dan makmur dengan segala kekayaan alam yang dimiliki mereka.
Dari kehebatan mereka, Allah swt telah turunkan dalam Al-Quran surah Al-Hijr. Rumah-rumah mereka telah didirikan dari tanah yang rata dan dipahatnya daripada gunung. Allah swt telah berfirman dalam surah Al-Hijr 'Dan mereka memahat rumah-rumah dari gunung-ganang batu(yang didiami) dengan aman'. Mereka telah diberi Allah swt kenikmatan luarbiasa, hidup aman, tenteram, sejahtera dan bahagia. Mereka merasa aman daripada segala gangguan alam dan mengaku bahawa kemewahan hidup mereka akan kekal bagi mereka dan keturunan mereka.
Kaum Tsamud tidak mengenal tuhan. Tuhan-tuhan mereka berupa berhala-berhala yang mereka sembah dan puja, kepada berhala mereka berkorban tempat mencari perlindungan daripada segala bala, musibah dan mengharapkan kebaikan dan kebahagiaan.
Sumber artikel : hasanalsaggaf.wordpress.com
Mohon izin dan halalkan artikel serta gambar jemaah rombongan dikongsi di sini.
Terima kasih.
Subscribe to:
Posts (Atom)