Wednesday, 13 November 2013

sabar itu indah...

Mengapa Allah menguji kita?

Apabila diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan... terdetiklah rasa... "Apakah Tuhan sayangkan aku?  Kenapa aku diuji sebegini berat sekali?"

Kenali Tuhan yang mengujimu !

Tanpa kita sedari kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.

Paling malang, manusia kerap terlupa dirinya hamba. Terutama ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita kalimah 'istirja' setiap kali diuji. 

ان لله و إن اليه راجعون

"Kami milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan"

Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sesekali menolak apalagi 'mengamuk' apabila diuji. Kita hanya hamba...

Namun, untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu, Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang Maha Hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?

Orang yang mengenal kasih sayang Allah punya keyakinan bahawa keputusan (takdir) Allah itu yang memberikan yang terbaik. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, tidak memberi sesuatu yang buruk untuk hambaNya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.

Yakinlah bahwa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak tahu atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, Ya Allah, mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah):

"Sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila Dia menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati"

Di antara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lain-lain. Lalu apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak, tidak sennag dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.

Jadi, apabila nafsu terdesak, hati dan akal akan terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesungguhnya akan melemahkan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa - mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.

Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal. kerana Qada dan QadarNya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat dan cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru Allah berfirman : 

".... Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu"
(Surah al-Baqarah : 216)

Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, "Belum dikatakan seseorang itu kenal Allah, sebelum ia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya"

Bila kita benci dengan ujian, ertinya kita belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa? Sebaliknya apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang dikehendaki Allah pada seseorang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujianNya"


Jadi apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tiada hikmahnya. Orang-orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah. Tapi bagi anti diuji, tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan nafsunya sahaja.

Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujianNya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba kepada Allah. Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan tiga langkah ini apabila diuji.

1) Kuatkan Iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah. 

2) Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran.

3) Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. 

Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk 'membesarkan' kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata... Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk 'membesarkan' lagi pengaruh kepimpinannya.

Dan setiap kita adalah pemimpin. Sekurang-kurangnya pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji ! Justeru apabila diuji jangan katakan 

"Apakah aku tersisih?"

sebaliknya, katakan.

"Aku sudah terpilih!"

SUMBER : Ustaz Pahrol 


"Apabila kira redha atas sesuatu yang mengecewakan kita, maka percayalah Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tak dijangka"

Suka untuk kak cik kongsikan satu kata-kata tutor kak cik ketika kelas tutorial Ahad lepas :

"Anehnya orang beriman, apabila diuji dia bersabar, apabila diberi kesenangan dia bersyukur"

Duhai hati, bersabarlah dan terus melangkah!.... :-)



Sumber:  sabaritucantik.blogspot.com
sumber foto: images@google
Mohon izin dan halalkan dikongsi di sini.  Terima kasih.

No comments:

Post a Comment