Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw bersabda:
"Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah amalnya melainkan daripada tiga sumber sahaja iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak yang soleh yang akan mendoakan untuknya".
H.R. Muslim.
Apabila seseorang telah meninggal dunia terputuslah baginya peluang untuk menambah pahalanya.
Sebanyak mana amalan yang telah dilakukannya semasa ia hidup dahulu, maka banyak itu sahaja pahala yang akan diterimanya. Dia tidak dapat menambah lagi pahalanya melainkan daripada tiga sumber yang telah diterangkan dalam hadis di atas.
Sebanyak mana amalan yang telah dilakukannya semasa ia hidup dahulu, maka banyak itu sahaja pahala yang akan diterimanya. Dia tidak dapat menambah lagi pahalanya melainkan daripada tiga sumber yang telah diterangkan dalam hadis di atas.
Pertama sedekah jariah
Segala wakaf yang pernah dijariahkan semasa hidupnya dahulu, seperti mewaqafkan tanah untuk kebajikan, membina masjid, surau, sekolah, jalan, jambatan dan sebagainya, selama harta benda ini digunakan orang selama itulah ia mendapat pahala yang berterusan yang mengalir masuk ke dalam suratan amalan kebaikannya.
Kedua ilmu yang bermanfaat
Segala ilmu yang dapat memberikan kemanfaatan kepada orang lain dan dapat menambah ketaqwaan mereka kepada Allah swt. Selama ilmu itu masih lagi dikembangkan dan dipelajari turun temurun, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebaikannya.
Begitu pula halnya seseorang yang mengarang kitab yang bermanfaat, ia akan mendapat pahala yang berterusan selama mana kitab tersebut dibaca dan dipelajari oleh orang lain.
Ketiga anak yang soleh yang mendoakan kedua ibubapa
Melahirkan anak yang soleh yang bertaqwa dan berwibawa adalah impian bagi setiap ibubapa, namun di mana datangnya buah kelapa kalau yang ditanam itu adalah benih buah pinang. Insan soleh tidak dapat dilahirkan dengan didikan yang 'tolih' (buruk), yang jauh dari nilai-nilai agama atau diasuh oleh suatu lingkungan yang sihat.
Insan soleh adalah hasil dari didikan berterusan dan pembinaan yang tersusun rapi. Ia merupakan hasil daripada kegigihan ibubapa, guru dan lingkungan yang sihat dan suasananya yang membina yang dapat menghantarkan anak tersebut ke pintu gerbang ketaatan.
Cuba kita fikirkan sebentar, adakah salah satu di antara tiga perkara di atas sedang atau telah kita lakukan. Kalau belum, maka berusahalah dan kalau boleh himpunkan ketiga-tiga perkara ini sekaligus.
Selamat beramal.
Sumber rujukan: empat puluh hadis penawar hati; abu ali al banjari an nadwi
Sumber foto: myMetro
Sumber foto: myMetro
Mohon izin dan halalkan artikel dan foto dikongsi di sini. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment