Monday, 11 November 2013

dirgahayu smv...


Selamat menyambut hari Keputeraan buat Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.  Cuti selama dua hari diperuntukkan kepada seluruh rakyat Kelantan untuk sama-sama meraikannya.  Cuti atau tidak, tiada memberi apa-apa makna kepada saya.  Apapun marhein ini mengharapkan Al-Sultan diberi kesejahteraan kesihatan, fokus minda untuk menerajui  negeri Kelantan serta jajahan-jajahan takluknya. Amin.

Sempena hari 'puja umur' Sultan,  hari ini saya buat apam kukus cicah nyior. Sebenarnya tiada kena mengena pun hari jadi SMV dengan apam kukus.  Sahaja saya buat untuk minum petang.  Sementelah ada nasi berlebih, hendak dibuang tidak sekali-kali maka walaupun ada sedikit vitamin 'M' melanda, kena cari juga resepi yang guna nasi untuk jadi kuih.  Digodek-godek buku resepi maka terhasil lah kuih apam kukus ini. Vitamin 'M' itu adalah untuk menyatakan saya bermalas-malas.


Nasi putih yang berlebih itu boleh buat dua adunan.  Bila sudah siap diperam buat beberapa ketika, adunan dimasuk ke dalam bekas kecil-kecil sesuai untuk kukus apam.  Banyak juga dapat, kena guna dua lapis pengukus untuk mengukusnya.  Mujur bekas apam kecil yang ada dalam simpanan,  cukup untuk dua adunan.


Biasanya apam yang selalu kita nampak dan terjual diwarna-warnikan.  Ada kaler merah jambu, hijau, kuning selain kaler asal  putih.   Apam saya kali ini dikekalkan dengan kaler putih sahaja.  Namun demikian ia nampak cantik dan menarik walaupun hanya dengan satu kaler.  Yang benarnya saya tidak rajin hendak solek-menyolek kuih itu dan duduk berlama-lama di dapur, kemalasan sungguh hari ini. 


Oleh kerana apam ini tidak akan habis dimakan hari ini, maka saya akan masukkan ia ke dalam bag plastik untuk disimpan di dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku.  Bila hendak makan di kemudian hari, bawa keluar  dan kukus semula.



No comments:

Post a Comment