Hari ini cuaca mendung, hujan kadang kala lebat dan adakalanya renyai. Sudah beberapa hari cuacanya sebegini, ia dinginkan bumi bertuah ini yang sebelumnya mencatatkan suhu panas yang agak luarbiasa.
Dini hari ini hujan lebat, sejuknya terasa ke tulang sumsum.
Hujan dan hembusan angin sejuk ini mengiringi kepulangan saudara rapat menemui Pencipta. Seorang yang bergelar ibu, nenek moyang telah meninggal dunia nan fana. Saya menerima berita arwah nazak pada pagi semalam(Sabtu). Sempat saya membaca yasin sewaktu menziarahi arwah, dan pada pukul 6.05 petang hari yang sama arwah pulang ke Rahmatullah.
Saya tidak berkesempatan menziarahi sejurus mendapat berita pemergian arwah disebabkan komitmen lain. Dikhabarkan arwah akan dikebumikan usai solat subuh esoknya, di kampung halaman di pinggir kota. Jadinya saya harus pergi menziarah sebelum jenazah disempurnakan.
Lebih kurang pukul 2.30 pagi saya 'drive' ke rumah arwah. Agak seram juga memandu seorang diri pada awal pagi, di mana kenderaan amat kurang di atas jalanraya pada waktu ini. Berbekalkan AlFatihah, Qursi, tiga Qul, selawat, zikir tahmid, saya tiba ke destinasi dengan selamat...alhamdulillah.
Setelah segala mala selesai, maka sudah sampai masa untuk menyempurnakan jenazah. Diketuai oleh ustazah dan pembantunya, saya dan beberapa orang saudara rapat arwah membantu untuk mandi dan kafankan jenazah arwah. Waktu yang syahdu bagi saya, di kala sedang memandikan arwah hujan turun dengan lebat di keheningan pagi yang amat dingin. Saya terkenang detik-detik membantu memandikan jenazah arwah ibu kandung beberapa tahun yang lalu.
Seterusnya jenazah dikafan dengan begitu cermat. Ustazah dan pembantu melakukan tugasan dengan teliti tapi gerak kerja mereka cepat dan efisien. Waris-waris terdekat diberi peluang untuk menatap dan mengucup arwah buat kali terakhir sebelum jenazah dibawa ke masjid telipot untuk disolatkan setelah selesai solat subuh. Khabarnya 200 jemaah telah lakukan solat ke atas jenazah.
Jenazah arwah telah dibawa untuk perjalanan terakhir ke tanah perkuburan. Upacara selesai tidak berapa lama kemudian. Ringkas sahaja, segala proses dari mula sampai akhir berjalan lancar dan ia sangat bermakna bagi yang masih hidup.
Semoga arwah di himpunkan bersama ahli-ahli Jannah...amin. Al Fatihah.
No comments:
Post a Comment