Saturday, 15 September 2012

masak apa kah?...

Hari ini aku tiba-tiba terlebih vitaman R...vitamin rajin la.  Aku main masak-masak.

Menu yang disediakan pada hari ini...jeng...jeng...jeng...

Nasi putih
Gulai darat udang berek 12
Sambal ikan bilis jepun
Kek yogurt kak pah

Jadinya kamu semua...yummy tidak menu aku ini?  Resepi gulai darat udang dan kek yogurt kak pah, aku dapat hasil daripada googlelan di blog dan forum masakan (aku lupa blog dan forum mana), sementara sambal ikan bilis aku ikut resepi arwah che. 

Aku perturunkan resepi-resepinya, mana tahu ada yang terliur nak mencuba.  Lagipun kalau dikongsikan atau dipanjangkan ilmu yang bermanfaat dengan khalayak makanya ia akan membantu kita di Akhirat kelak.  Aku mohon tuan punya resepi halalkan resepi-resepi mereka di kongsi di sini.

Kena ingat perkara-perkara ini dapat menolong di Akhirat nanti.

Doa anak-anak yang soleh dan solehah
Amal jariah kita sewaktu hidup
Panjangkan ilmu yang baik-baik belaka sesama insan

Baik, aku mula dengan gulai darat udang Berek 12.  Sebenarnya aku beli udang di pasar Berek 12, jadinya aku letak namanya rupa itu, hehehe. 

GULAI DARAT UDANG BEREK 12

Bahan-bahan:-
300-500gm udang basah (kalau guna ayam, 1/2 ekor ayam)
2sb rempah darat
2sb kerisik
4-5 ulas bawang merah *
3-4 ulas bawang putih   *
1-2 inci lengkuas           *
1-2sb cili kering diblend halus (boleh juga guna cili boh)
1sk ketumbar - disangai dan ditumbuk halus
santan, garam, gula secukupnya
1 keping asam keping
10 batang cili burung/cili padi (bertujuan untuk bangkit bau, ada ummph)

Bahan-bahan bertanda ( * )  ditumbuk atau diblend halus.

Cara-cara:-
Masukkan rempah darat, bahan-bahan bertanda ( * ), cili kering, ketumbar serta 3sb santan ke dalam periuk.
Kacau bahan-bahan dalam periuk di atas api sederhana.  Bila sudah mendidih masukkan santan selebihnya.
Masukan garam, gula, asam keping diikuti dengan udang, kerisik.  Rasakan masam masin manis gulai tersebut, lepas itu masukkan cili burung/padi..apabila gulai sudah pekat boleh ditutup api dan hidangkan.

p/s:  Selain udang, ayam atau daging boleh juga digunakan untuk resepi ini.  Asal resepi adalah gulai darat ayam tapi aku lebih suka udang.  Mohon ampun tuan punya resepi.

SAMBAL IKAN BILIS JEPUN

500gm ikan bilis jepun (saiz ikan bilis ini kecil(macam orang jepun gamaknya) dan agak mahal)
5-6 ulas bawang merah
3-4 ulas bawang putih
1 inci halia (tak letak pon)
garam gula asam keping secukup rasa
3-4sb cili kering yang diblend halus/ cili boh
minyak masak untuk menggoreng
sedikit kacang tanah yang telah digoreng


cara-cara:-
Goreng ikan bilis sampai ranggup.  Toskan dan biarkan sekejap.
Bawang merah, bawang putih, halia ditumbuk halus.
Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan-bahan yang ditumbuk halus.  Bila sudah agak layu kekuningan, masukkan pula cili kering/cili boh.  Goreng sampai cili garing.
Masukkan garam gula asam keping, rasakan masam manis masin secukupnya.
Masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi dan kalau suka taburkan sedikit kacang tanah yang telah digoreng terlebih dahulu.
Kacau mesra ikan bilis dan sambalnya.  Bila sudah  kering boleh ditutup api.  Sejukkan sebelum dimasukkan ke dalam botol kaca.

KEK YOGURT KAK PAH (kalau tidak silap sumbangan forumer@cari))

Bahan-bahan:-
6 biji telor (asingkan putih dan kuning)
2 cawan gula halus (aku kurangkan kepada 1 1/2 cawan)
250gm butter
2 1/2 cawan tepung gandum
3/4 plain yogurt (aku guna yogurt perisa blueberi)
hirisan badam secukupnya (aku tidak bubohpon sebab tiada)
1sk esen vanilla

Cara-cara:-
Pukul telor putih hingga kembang/bertanduk.  Ketepikan seketika.
Pukul butter dan gula halus hingga kembang/gebu.  Masukkan kuning telor satu persatu, diikuti esen vanilla, pukul lagi.
Masukkan putih telor, yogurt dan tepung gandum selang -seli.
Tuangkan ke dalam acuan, tabur hirisan badam, bakar di dalam oven , suhu 180 darjah celcius lebih kurang 1 jam atau sehingga masak.  Oven dipanaskan terlebih dahulu.

p/s:  disebabkan aku guna yogurt perisa blueberi makanya sukatan gula dikurangkan lagi menjadi      1 cawan penuh sahaja.  Yogurt berperisa ini manis jadi sukatan gula kena kurangkan.

NASI PUTIH...aiseman, kalau nasi putih nak kena ajar cara masaknya makanya...wa nangis beb!

Kepada sapa-sapa yang hendak mencuba resepi-resepi ini maka 'sudi-sudikan lah' (pinjam tagline christine ling, bekas penyampai berita TV3...berbangsa tionghua yang amat fasih bermain kata-kata dalam bahasa melayu).

Masa amat mencemburuiku...aku gebang lagi, insyaAllah.





No comments:

Post a Comment