Sunday, 28 July 2013

dam dam dum kuatnya...

mercun yang menyerupai bom tangan...
dikhabarkan kekuatan dentuman mercun
ini adalah lima kali ganda daripada mercun-
mercun yang sedia ada...
tidak pasti samaada apa-apa  objek
yang menyerupai alat-alat  persenjataan
merbahaya, sekiranya dihasilkan untuk kegunaan
awam adalah salah di sisi undang-undang dan boleh
diambil tindakan sewajarnya?...

Apabila bermula Ramadhan maka akan berdentam dentum sana sini bunyi letupan mercun.  Eid Mubarak sudah makin hampir, makin hebatlah kedengaran dentuman mercun dan percikan bunga api.  Di kejiranan saya pun tidak ketinggalan dengan hiruk pikuk anak-anak gelak hilai ketawa dapat bermain mercun.  Di kala umat Islam sedang kusyuk berterawih, anak-anak ini pula dengan megahnya meletup mercun.  Agaknya kalau tidak ada aktiviti ini kehidupan harian mereka di bulan Ramadhan mulia ini boleh mati.

Anak-anak yang asyik masyuk dengan mercun dan bunga api ini mungkin agak naif untuk sedar betapa bahayanya permainan ini, walaupun ada kalangan mereka sudah remaja dan meningkat dewasa.  

Ibubapa yang tidak sayang anak merupakan faktor yang menjerumuskan anak-anak untuk leka dengan aktiviti yang membazir duit dan waktu.  Silap haribulan anak-anak mereka akan tercedera, cacat kekal menjurus kepada kematian, juga masa depan anak-anak jadi kelam sekiranya mereka diberi peluang untuk hidup.

Saya mahu kisahkan tentang anak-anak jiran yang sangat leka bermain mercun di malam hari hingga waktu tidur masih galak pasang benda alah ini. Ya Rabb...tersangat kuat  luarbiasa dentumannya  hinggakan saya amat terkejut dan jantung berdenyut kencang.  Bukannya sekali dua mereka pasang namun beberapa kali yang menyebabkan saya terpaksa menegur karenah mereka.  Saya tidak teragak-agak untuk telefon polis sekiranya tidak berhenti dari meletupkan mercun jam itu juga, itu yang saya cakapkan kepada mereka. Hah tahu pula takut, selepas itu tiada kedengaran dentuman demi dentuman lagi.

Saya tidak pasti di mana ibubapa mereka waktu itu.  Kalaupun ada dalam rumah masa kan mereka pekak badak tidak mendengar kuatnya letupan seolah-olah letupan-letupan berlaku di zon perang.

Mungkinkah anak-anak jiran bermain dengan mercun bom tangan itu?  Bila ia meletup tersangat luarbiasa impak letupannya.  Sesiapa yang tidak semena-mena mendengar akan mengalami perasaan terkejut yang mendalam...boleh mudaratkan kepada sesiapa yang ada komplikasi jantung...tekanan darah akan naik tiba-tiba...ketenteraman kawasan kejiranan terganggu. Jujurnya saya terkesan dengan impak mercun letupan anak-anak jiran, boleh menjejaskan kesihatan saya.

Pengharaman pembakaran mercun masih berkuatkuasa, saya tidak pasti.  Rakyat jelata bersenang-lenang sahaja meletupkan mercun tanpa perasaan takut, dentam sana  dentum sini seperti tiada apa gundah gulana menjengah.


kuih Cara Berlauk untuk berbuka puasa...
intinya saya letak serunding ayam...
resepi untuk batter: kredit chef hanieliza...


Mohon izin dan halalkan foto mercun dikongsi disini.  Terima kasih.




Sunday, 21 July 2013

beribu sesalan~talam tokyo...


Aduhai...sang ibu boleh lupa akan anak kesayangan masih tidor di dalam kereta.  Lalu dengan tergesa-gesa beliau kunci kereta dan terus menuju ke sekolah bermesyuarat.  Sang ibu meninggalkan keretanya dalam keadaan cuaca panas selama beberapa jam.

Bayangkan anak masih kecil terperangkap di dalam kereta dengan tingkap tertutup.  Bahang panas, kekurangan oxigen, kelemasan, ya Allah seksanya.  Bila ibu anak malang itu kembali ke keretanya beberapa jam kemudian, beliau begitu terkejut melihat anaknya sudah kebiruan, basah lencun dek peluh dan banyak menangis beriringan  kesan najis dan muntah.  Anak itu segera dibawa ke klinik berhampiran, namun disahkan meninggal dunia.

imej arwah di muka hadapan 
akhbar tempatan...Al-Fatihah...
 Mohon izin dan halalkan keratan akhbar dikongsi di sini.  Terima kasih.


Hari ini sudah tigabelas hari Ramadhan.  Cuaca di sini sekejap panas terik sekejap mendung hendak hujan, sungguh tidak menentu cuaca sekarang.

Apa pun saya sempat buat kuih sebagai pencuci mulut untuk berbuka puasa.  Pertama kali cuba ia tidak  menghampakan...pasti sedap!


hari-hari makan kari...
kuih Talam Tokyo nama diberi...
wahhhh...internationalnya nama kuih ini...
tidak sabar hendak merasai...


kredit blog azie kitchen.



Thursday, 18 July 2013

nilai fitrah RM7.00...

Setiap kali Ramadhan menjelma, maka tanggungjawab yang ini, saya sebagai seorang islam wajib tunaikan.

Walaupun masih awal untuk melaksanakannya, namun bagi saya yang kebanyakan kerja kena buat sendiri, saya mesti melakukannya mengikut kesesuaian masa saya.  Masa itu adalah emas dan pengurusan masa efisien amat penting seandainya ingin mencapai 'outcome' gemilang.  Saya seorang yang tidak suka melakukan sesuatu kerja di saat-saat akhir dan saya pastinya tidak menggemari orang-orang yang tidak pandai menghargai masa.

 resit-resit tanda pembayaran...
sebekas buah kurma tanda penghargaan...

Hari ini saya sudahpun menjalankan tugas saya membayar zakat fitrah, harga yang ditetapkan di tempat kami adalah RM7.00 setiap seorang.  Selain bayaran untuk diri sendiri, saya juga mewakili abang kandung membuat pembayaran  bagi pihak beliau.  Sebagai penghargaan, pihak MAIK telah hadiahkan sebekas buah kurma.  Terima kasih lah.

Hari ini juga saya ke pejabat pos, kembalikan sebeban surat-surat  tidak dituntut jiran yang sudah berpindah. Jiran saya dahulunya tidak mempunyai alamat tetap jadi untuk berurusan rasmi, mereka menggunakan alamat rumah saya.  Sekiranya bekas jiran terutama anak-anak mereka berfikiran waras, matang, cerdik setelah berpindah  ke tempat lain, dengan inisiatif sendiri kenalah tukar alamat baru.  Anak-anak beliau diakui masa persekolahan bijak-bijak belaka namun bila sudah berada di alam dewasa mereka sudah tidak pandai untuk berfikir secara matang.  

Saya perhatikan kebanyakan surat-surat yang diterima berkaitan dengan bank, pptpn, pejabat loyar.  Masing-masing sudah bekerja mustahil tidak boleh langsaikan pinjaman.  Bagi saya walau  sebanyak manapun gaji bulanan sekiranya hutang atau pinjaman tidak dijelaskan sedikit-sedikit maka rezeki yang diperolehi tidak berkat.  Menyusahkan jiran juga adalah satu sikap yang tidak molek.

Sunday, 14 July 2013

udangku rentung...


Siang  tadi perangat gulai udang, entahlah minda bercelaru,  langsung boleh lupa gulai udang atas dapur.  Sedar-sedar udang sudah takde rupa udang...periuk pun takde rupa periuk.  Semuanya rentung dan hitam legam.  Periuk sudah layak  jual dengan peniaga besi buruk.  Bila keluar bilik boleh pula tanya diri sendiri, apa yang bau hangit semerbak ini...alaaaaaaaa udang ambo...

Masih tidak puas hati saya tanya izani apa yang bau?  Beliau cakap udang yang diperangat tadi sudah arwah bersekali dengan periuknya, dan dengan rela hati telah membakul sampahkan segala mala yang hangit tadi.  Aduhai bukan rezeki saya hendak makan gulai udang hasil air tangan sendiri.

Rumah terbakar nampak asapnya..
diri sedih  udang rentung...
tidak siapa yang tahu...huhuhu...

Apa lagi mahu cakap, yang berlalu biarlah berlalu.  Langsungnya saya cuba menyejukkan hati yang sedang berduka...maka terhasil sesuatu yang nyaman sehhhhhh...ahhhh syurga nikmatnya tepung pelita ini!

hendak lagi sedap kuih tepung pelita macam peniaga jual...
 letak 1/2 sk gula di antara lapisan hijau dan lapisan putih...

Jom layan resepinya..
mohon izin dan halalkan resepi dikongsi di sini.  Terima kasih.

Tepung Pelita (sumber: izahdaut; resepi oleh Kak Yani@myresepi.com)

Lapisan hijau @ bawah

1 cawan tepung beras
2sb tepung ubi (optional)
1 cawan gula
5 cawan air
air daun pandan (4 helai daun pandan dimesin dengan sedikit air dan ditapis)
1sk air kapur

semua bahan-bahan disatukan dan disebatikan.
masak bancuhan hingga pekat berkilat (sampai bancuhan meletup 'blup...blup')
masukkan bancuhan ke dalam bekas-bekas kecil...ketepikan
-------------------------------------------------------
 Lapisan putih @ atas

4sb tepung beras
4 cawan santan
sedikit garam

satu dan sebatikan bahan-bahan
masak bancuhan sampai menggelegak dan pekat
tuangkan bancuhan ke atas lapisan hijau
sejukkan tunggu tepung pelita keras...dah siap boleh makan. (tepung pelita versi ini tidak perlu kukus)

Untuk lebih sedap letakkan 1/2sk gula di antara lapisan hijau dan lapisan putih.


Alhamdulillah...






Saturday, 13 July 2013

sumbangan kecil...


Hari ini awal pagi sudah keluar rumah, ada beberapa perkara yang perlu dibereskan.  Sebelum meneruskan urusan, saya singgah sekejap di stesen minyak.  Saya perlu mengisi angin tayar kereta.  Sesampai saya di sana kelihatan seorang wanita muda tercegat berhampiran dengan mesin angin tayar sambil beliau memegang wayar angin itu.

Telahan saya tepat yang beliau tidak reti mengisi angin tayar keretanya, jadi wanita cantik ini mohon bantuan saya.  Saya  tanpa banyak songeh keluar dari kereta membantu apa yang boleh.

Setelah selesai, wanita itu dengan senyuman, mengucap terima kasih dan terus berlalu.  Jelasnya beliau menghargai bantuan saya yang tidak seberapa.

Setelah segala mala urusan untuk hari ini beres, saya pulang ke rumah untuk menyiapkan pula pemanis mulut untuk dihantar kepada jemaah masjid berbuka puasa.

Inilah hasil kejadian kuih bingka telor untuk dijamu para jemaah.  Apa yang berlaku  hari ini cuma satu kebetulan.

Resepi (sumber):  Azie Kitchen...




 Alhamdulillah...



Thursday, 11 July 2013

marhaban ya ramadhan kareem...




Salam Ramadhan kepada seluruh umat islam di serata  dunia amnya dan di Malaysia khususnya.  Selamat menjalankan ibadah puasa di siang hari dan berterawih serta bermunajat di malam harinya, juga bersahur di dini hari.

Alhamdulillah, syukur ke hadratNYA, diri kerdil ini berbekalkan anugerah sejahtera kesihatan, dilanjutkan usia, barokah rezeki, seiring untuk hambaMu  menyambut dan meraikan Ramadhan.  Terima kasih Allah swt.

Sempena bulan yang mulia ini, selain daripada beramal ibadah ada juga di kalangan ummah yang mengambil peluang dan kesempatan untuk mencari rezeki dengan melakukan bisnes sampingan.  Percambahan pasar ramadhan (PARAM) akan kelihatan di mana-mana dengan beranika juadah serta minuman dijual. Sambutan kepada PARAM ini menggalakkan pada setiap tahun.

Mohon sangat kepada peniaga-peniaga bermusim ini agar menjaga kualiti makanan yang dijual yakni tahap kebersihan makanan, minuman dan batang tubuh peniaga sendiri adalah prioriti.  Jangan sesekali berkompromi dengan isu kebersihan ini. Adakalanya makanan yang dijual 'indah khabar dari rupa'.  Makanan sudah rosak atau basi bila hendak makan waktu berbuka.

Juadah-juadah yang dipamerkan di booth jualan hendaklah sentiasa tertutup, tidak kiralah ditutupi dengan plastik besar ataupun menggunakan bekas-bekas yang sudah dilengkapi penutup.  Apabila makanan dilindungi maka habuk, binatang seperti lalat dan seumpamanya boleh dielak menjamah makanan jualan tersebut.  peniaga-peniaga jangan hendak kira untung sahaja tetapi aspek-aspek ini tidak diambil kira.

Bagi saya memasak juadah dengan penuh kasih sayang  dan  keikhlasan  serta kebersihan terjaga, dan yang paling penting ianya sedap  maka  hasilnya adalah kepuasan nikmat terbaik.

Berbalik kepada PARAM...anak saudara saya dan mama beliau juga tidak ketinggalan berniaga.  Mereka menyediakan pemanis mulut yang di jual di PARAM Tasik Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur...di  booth Laksa  Langkawi.  Tepung pelita, lompat tikam, puding karamel biasa, puding karamel roti antara pemanis mulut yang disediakan.

 sila ke booth ini dan dapatkan pemanis mulut cik ain loma 
dengan  harga berpatutan...

 kiri ke kanan
puding karamel...tepung pelita


satu lagi pemanis mulut diberi nama buah mulong@onde-onde
berkuah 'kekoh cha' yang dijual...

kuih puteri mandi dan kek rainbow diselang-seli
hari jualannya dengan pencuci mulut lain...

Sesiapa sahaja samaada saudara mara kami yang tinggal berdekatan Tasik Permaisuri dan sekitarnya, silalah berkunjung ke booth Laksa Langkawi.  Dapatkan pemanis mulut ini dengan harga berpatutan.  Usah risau kuih-kuih yang disediakan sedap-sedap belaka, amatlah rugi kalau tidak mencubanya.  Selain itu boleh juga mencuba laksa yang kebaboom turun temurun resepinya.

Salam Ramadhan...kita sama-sama cari Lailatul Qadr. Sudah setahun tidak bercumbu mesra dengan LQ...rindu teramat, moga ketemu...amin.  Umum mengetahui LQ menjengah hanya pada satu malam sahaja di sepuluh  malam terakhir Ramadhan,  maka berusahalah...rebut peluang ini untuk mengadu domba, berkasih sayang dengan LQ.