Sudah lama saya ingin berbicara akan hal ini. Mungkin isu ini tidak menjadi 'kudis gatal' kepada orang-orang tertentu. Namun bagi saya sebagai rakyat marhein yang bertanggungjawab, memang akan rasa sakit hati, terkilan dengan sikap segelintir ummah yang hanya bekerja sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.
Tidak perlu saya bermukadimah dengan panjang lebar, elok sahaja terus ke isu utama yang ingin saya gebangkan.
Ini adalah meter yang dipasang di parkir-parkir di sekitar Pasar Berek 12, Kota Bharu, Kelantan. Kalau diperhatikan terpampang perkataan 'kad' dan anak panah menunjukkan di mana 'tempat' kita kena cucuk kad pintar. Persoalannya di mana lubang atau 'slot' untuk masukkan kad itu? Bagi saya yang memiliki kad pintar, celah lubang bedah mana harus saya cucuk kad tersebut? Yang ada hanyalah lubang untuk masukkan duit syiling di sebelah kanan.
Jadinya setiap kali ke Pasar ini saya terpaksa 'paksa rela' korek duit syiling untuk masukkan dalam meter tersebut sedangkan kad pintar yang dimiliki tidak boleh digunakan. Saya tinggal berhampiran dengan Pasar ini maka tidak perlu saya bersesak ke Pasar Siti Khadijah atau pasar-pasar lain.
Ini tidak adil bagi saya atau sesiapa yang memiliki kad pintar tetapi kami tidak boleh manfaatkan penggunaan kad itu sepenuhnya. Mereka yang berkenaan seolah-olah 'pejam mata' mengaut keuntungan berganda sedangkan saya warganegara yang bertanggungjawab berhabis wang berkali-kali. Mana tidaknya, miliki kad yang nilainya RM30, namun tidak boleh digunakan...kena juga masukkan syiling dalam meter itu, nantikan kalau tidak bernasib baik, datang pula pegawai beruniform biru gelap yang kadangkala 'berangin seribu' dengan alatannya, mengesan samada kita masuk duit atau tidak. Tidak memasal surat saman diletakkan di celah 'wiper' cermin hadapan kenderaan. Kena keluar duit lagi bayar saman.
Yang ini pula meter yang dipasang di parkir-parkir sekitar bandar Kota Bharu. Meter ini dilengkapi dengan tempat masukkan kad dan juga syiling. Ia tidak menjadi masaalah bagi saya menggunakan meter ini dengan kad, asalkan kad tersebut masih ada nilai berbaki dan yang paling penting meter befungsi dengan baik.
Mengapa perlu ada dua jenis meter yang berlainan? Kenapa pihak terbabit tidak selaraskan penggunaan satu jenis meter sahaja yakni pakej kad dan syiling? Mungkin mereka mengambil jalan mudah tanpa mengira atau memikirkan kesusahan rakyat marhein menanggungnya. Bagi saya yang menghadapi situasi ini, berhabis wang sebegini memang tidak patut. dan saya tidak sekali-kali mengizinkan dan tidak rela dengan etika kerja ummah yang diberi amanah untuk menjalankan tugas dengan berintegriti dan bertanggungjawab.
Inilah 'kad pintar' yang diwar-warkan. Harga yang disebut RM30. Namun untuk pengguna yang pertama kali menggunanya perlu membayar RM40, mungkin harga kad dan nilai RM yang terdapat pada kad tersebut (kalau silap penerangan, maafkan saya). Apabila nilainya sudah habis, kita perlu menukarkan kad tersebut dengan yang baru nilaian RM30. Begitu lah seterusnya.
Penggunaan kad ini sebenarnya ada kebaikannya. Tidak perlu bersusah payah memikiran berapa duit hendak dimasukkan ke dalam meter. Cucuk sahaja kad dan meter akan buat bacaan berapa lama dan berapa caj yang perlu ditolak dari nilai kad tersebut, sepanjang kita letak kenderaan di parkir dinyatakan. Tetapi itu lah, manfaat itu tidak diiringi dengan kecekapan pihak berkenaan demi tidak menyusahkan pengguna khususnya.
Kami, rakyat marhein disarankan mengguna kad pintar ini, untuk kemudahan dan menyenangkan, kononnya. Namun ketidakcekapan pegawai-pegawai mentadbir urus penggunaannya, maka sistem yang sepatutnya efisien telah tidak menepati ciri-ciri sedemikian.
Contoh meter parkir yang berfungsi baik...
perhatikan angka 10:00 bertukar kepada 9:59
apabila memasukkan kad atau syiling
Saya hendak sentuh juga pasal penyelenggaraan meter-meter dipacak tegap itu. Tolonglah, pihak-pihak terbabit, selenggara lah meter-meter sentiasa. Jangan ingat apabila sudah sampai sekian-sekian masa datang buka meter, ambil duit dan berlalu begitu sahaja. Jangan ambil mudah hal ini. Pernah beberapa kali saya sudah terkena. Ini berlaku di Pasar Berek 12 jua. Masukkan syiling tetapi meter tak bergerak langsung...masuk syiling lagi, sampai sudah, keras kejung ia tidak menunjukkan sebarang perubahan pun pada angka minit di meter tersebut. Aik, berapa duit nak kena telan nih? Perasaan marah, geram, kecewa jelas, kehilangan sejumlah wang syiling disedut tanpa izin amat terkesan. Ada kad tidak boleh digunakan, masuk duit pun meter tidak berfungsi, maaf cakap, saya tidak halal wang hasil titik peluh saya 'dicuri' sebegini.
Pernah juga berlaku apabila meter gagal berfungsi samaada untuk syiling atau kad. Ini berlaku di pusat bandar Kota Bharu. Saya sudah elok letak kenderaan, namun bila hampiri meter nak cucuk kad, tertera pula perkataan 'fail' di meter itu...adeh, takkan saya hendak keluarkan kenderaan saya dan cari parkir lain yang belum tentu ada. Saya tawakal sahaja, mudah-mudahan tidak disaman. Bukan salah saya. Sila lakukan penyelenggaraan sewajarnya ke atas meter-meter yang dipasang. Jangan menyusahkan pengguna yang bertanggungjawab seperti saya.
Sia-sia sahaja kehilangan satu undi yang sangat berharga nanti. Satu undi boleh menentukan kemenangan atau kekalahan. Jadi fikir-fikirkan lah wahai ummah-ummah atau calon-calon yang inginkan kemenangan, tidak kira samaada untuk mentadbir ke sekian kalinya atau yang baru beroleh kuasa.
Mohon izin dan halalkan gambar dikongsi di sini. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment