Friday, 2 November 2012

lempeng orang malas...


Sarapan pagi ini saya berhajat hendak makan roti, tetapi lupa hendak beli.  Tiada satu keping pun roti yang ada di dapur.  Langsungnya kena lah rajinkan diri buat lempeng.  Resepi lempeng ini dan cara buatnya, saya pelajari daripada arwah ibu saya.  Satu-satunya masakan paling mudah dan ringkas, hatta orang malas sekalipun boleh cuba kalau ada sedikit kerajinan dan usaha.

 
 
 
Bahan-bahan  masak lempeng ini tidak sukar mana untuk didapati, boleh sahaja dibeli di pasaraya ataupun kedai-kedai runcit berhampiran rumah.  Hanya air, tepung gandum, garam, gula, margerin planta, susu tepung yang diperlukan.  Masukkan semua bahan-bahan ke dalam pengisar dan kisar sampai ia menjadi batter.  Panaskan ceper yang disapu sedikit margerin dan masukkan 2 senduk batter, pastikan atas bawah lempeng masak seadanya.  Bila sudah masak, lempeng boleh digulung atau dilipat, terpulang pada citarasa.   Ia sedap dimakan begitu sahaja ataupun dicicah dengan kuah kurma, kari  dan sebagainya.   
 
Saya tiada sukatan khusus untuk resepi ini, hanya main agak-agak dan campak semua bahan-bahan ke dalam blender dan terus blend.
 


 
Tidak lengkap rasanya bila sarapan pagi,  tidak ada nescafe panas menggelegak. Boleh dikatakan minuman kegemaran saya.  Nescafe dicampur sedikit horlicks dan susu tepung anelene.  
 
Sejak zaman remaja, muda belia lagi saya tidak biasa bubuh susu pekat atau gula ke dalam minuman saya.  Orang putih cakap "it's a big no-no".  Tabiat itu lekat hingga kini,  tetapi  kalau menziarahi waris mahupun sahabat handai, terpaksa juga telan air manis yang disediakan.  Ya ampun...manisnya.

No comments:

Post a Comment