Wednesday, 23 October 2013

kumpulan maut...


Arsenal kalahkan Napoli...Napoli kalahkan Borussia Dortmund...Borussia Dortmund kalahkan Arsenal.  BVB, Arsenal, Napoli kalahkan Olympique De Marseille.

Ini adalah tim-tim yang berada di dalam kumpulan maut Liga Juara-Juara musim ini.  Mereka telah mengharungi perlawanan-perlawanan masing-masing dan kedudukan terkini Arsenal, Borussia Dortmund dan Napoli terikat enam mata dan Marseille masih belum mengutip apa-apa mata.


Tim Arsenal dan BVB, merupakan tim  pilihan saya untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Napoli juga bukan calang-calang pasukan yang mampu menggugat kedudukan Arsenal dan BVB.  Peluang ketiga-tiga tim nampak terbuka dan sama rata.  Siapapun tidak boleh jangka Marseille yang tercorot boleh mencuri satu atau dua mata daripada ketiga-tiga tim tersebut, sekiranya mereka hilang fokus.  Kita lihat sahaja penyudahnya nanti aksi-aksi kumpulan maut ini.

Pengamatan saya untuk perlawanan Arsenal ~ BVB.

Arsenal seolah-olah turun dengan semangat tidak mahu menang walhal bermain di Emirates.  Gaya permainan yang sangat  perlahan temponya di 45 minit awal, hanya Arsene Wenger sahaja  yang  faham.  Mereka bagaikan model-model yang ber'catwalk' di atas padang tanpa pergerakan-pergerakan yang ada 'nyawa'.  Membiarkan BVB mencorak rentak, pemain-pemain Arsenal tidak berupaya mencari arah game mereka.


BVB menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin dan berjaya.  Di atas kegoblokan pemain Arsenal yang cuba tunjuk pandai berhampiran kotak penalti sendiri,  memakan diri.  Bola yang sepatutnya boleh ditendang ke atas tetapi pemain Arsenal memilih untuk mempamer skil gelecek yang tidak menjadi langsung dicuri oleh pemain jersey kuning dan meledak ke dalam  gol.

Selama 40 minit Arsenal 'tidur', hanya di minit-minit terakhir separuh masa pertama mereka tersedar sedang bermain di UCL dan ada usaha cuba bermain bolasepak sebenar.  Ia berhasil dengan jaringan gol dan sudah ada nampak ke arah memantap game mereka.


Babak separuh masa kedua macam milik Arsenal.  Kemasukan Santi Carzola menggantikan Jack Wishere yang banyak menghuru-harakan tim sendiri dengan hantaran-hantaran yang tidak sampai kepada kawan, memberi impak kepada pasukan gunners.  Gandingan Cazorla dan Mesut Ozil menampakkan kesan dan Ozil sudah 'nampak' bola dalam babak kedua ini. Beberapa sentuhan dan lorongan bola kepada pasukannya hampir-hampir berhasil.

Dalam kerancakan Arsenal maju ke kawasan BVB,  kelab daripada Jerman ini melakukan 'counter attack' dan hantaran silang itu sudah cukup untuk Lewa mencetak gol dan bawa pulang 3 mata.  Amat kecewa bila Lewa tidak dikawal oleh pemain Arsenal ketika itu dan dengan senang beliau meledak bola ke arah gol.  Posisi Sagna ketika itu sangat jauh di dalam kawasan BVB dan kakinya yang keletihan tidak berupaya untuk lari laju turun menghalang Lewa menjaringkan gol.  Padahnya bila sangat teruja untuk menyerang dan mencari gol tanpa memikirkan strategi dan taktik lawan.

Harapan masih terbuka untuk mencipta kemenangan.  Arsene Wenger perlu mencari formula untuk timnya menang, tidak boleh kalah.  Perlawanan seterusnya menentang BVB dan Napoli di tempat lawan, Marseille diadakan di Emirates.  Sangat getir namun tidak mustahil.

Ketiga-tiga pasukan teratas, di atas kertasnya berupaya ke peringkat seterusnya tetapi pengundian telah menentukan mereka di dalam kumpulan sama.  Hanya dua tim teratas sahaja yang akan layak, pasukan ketiga terbaik terpaksa tersingkir.  Ironi.



No comments:

Post a Comment