Friday, 14 June 2013

cotton cheese cake~bingka cheese...



 Kepada yang hendak mencuba, silakan...


cotton cheese cake(sumber forum@cari)

BAHAN A

250gm cream cheese
50gm butter
100ml susu segar
6 biji kuning telor
1sb jus lemon
1/4sk garam (saya tak letak)
60gm tepung superfine *
1/4sk double action baking powder *
20gm tepung jagung

*  diayak bersama

BAHAN B

140gm gula kaster (saya kurangkan 110gm)
6 biji putih telor
3/4sk jus lemon @ cream of tartar

Untuk adunan A - cairkan cream cheese, butter dan susu segar menggunakan teknik double boil.
Apabila adunan larut, tutup api dan sejukkan.  Campurkan tepung superfine. tepung jagung, kuning telor, garam dan jus lemon ke dalam adunan cream cheese.  Kacau sebati.

Untuk adunan B - di dalam bekas lain, pukul putih telor bersama jus lemon sampai berbuih.  Tambahkan gula, pukul lagi sehingga bertanduk (soft peak).

Campurkan adunan A ke dalam adunan B, kacau sebati.  Sediakan tin ukuran 8", gris dan alas acuan dengan baking paper.  Tuang adunan ke dalam acuan.  Bakar -+ 1 jam  atau sampai masak, suhu 160 darjah celcius dengan cara baine-marie.  Oven hendaklah dipanaskan terlebih dahulu.

TEKNIK BAINE MARIE

Adunan yang dituang ke dalam acuan ~ balut bahagian bawah acuan hingga separuh tinggi tin dengan aluminium foil.  Ia sebagai protection supaya air tidak masuk ke dalam acuan.

Letak acuan yang sudah diisi dengan adunan kek di atas dulang pembakar yang dituang air panas.

@#@#@#@#@#@#@#@#@#

bingka cheese (sumber forum@cari)

BAHAN A

250gm cream cheese 
200gm butter
4 biji telor
1/4 gelas susu pekat
1 gelas tepung gandum

BAHAN B

12gm agar-agar
3 gelas air
1 gelas gula (saya kurang 3/4 gelas)

Rebus bahan B hingga larut dan mendidih.  Angkat dan tapiskan dan rehat seketika.
Pukul bahan A hingga kembang (saya guna hand mixer).
Masukan bahan B ke dalam bahan A, putar hingga sebati.
Alas acuan dengan baking paper.  Masukan adunan ke dalam loyang, bakar pada suhu 170 darjah celsius selama 45 minit atau sehingga masak.  Oven dipanaskan terlebih dahulu.


Mohon izin dan halalkan resepi dikongsi di sini.  Terima kasih.

Thursday, 13 June 2013

Wednesday, 12 June 2013

terima kasih lah...

Semalam pergi ziarah ibu saudara baharu pulang umrah.  Beliau telefon jemput ke rumahnya minum air zam zam yang dibawa pulang daripada Mekah Al-Mukarammah.  

Di samping air zam zam, saya dibekal bawa pulang sehelai sejadah, serba sedikit kurma, kismis dan kacang cerdik.  Terima kasih bersusah payah memberi cenderahati  walaupun  harganya tidak semahal intan berlian, dan amat menghargai pemberian bermakna ini.

Bila lagi dapat ku tinggalkan jejak di Mekah dan Madinah? atau tempat-tempat yang masih tidak kesampaian.  Baitul Maqdis, Turki, negara-negara Balkan...dalam mimpi belum tentu menjengah.

Sekarang ini cukup susah untuk saya ke mana-mana.  Abang kandung saya yang seorang ini tidak sihat.  Walaupun beliau dari luarannya nampak normal namun hakikatnya tuhan sahaja yang tahu susah hendak jaga beliau.  Saya menangis dalam senyum hilai.  Aduhai hati...sabar lah.

untung itik angsa anak beranak ini menjadi warga swiss...


Tuesday, 11 June 2013

mentari di Korea...

Walawei teringat akan tajuk lagu ini bersempena dengan Sukan Olimpik yang diadakan di Korea Selatan.  Tidak silap saya  Raja Ema yang melagukan.

Lagu itu tiada kaitan apa-apa pun cumanya saya hendak bercerita kunjungan  ke Korea  tidak berapa lama dahulu. Dalam banyak-banyak negara saya lawati, kunjungan ke Korea yang paling tidak seronok.  Tidak seronok dalam erti kata saya tidak dapat menghayati kisah perjalanan yang sebetulnya menarik untuk dikisahkan.

Suhu di Korea waktu itu jatuh di bawah paras 0 celcius (sub-zero), sejuk sampai ke tulang sum-sum.  Pihak travel agent (TA) pula tidak maklumkan rombongan akan keadaan ini.  Ada jemaah yang tidak bawa jaket tebal pun.  Masak lah beliau dalam kesejukan.

puas lah tour leader kami dok canangkan belajar main
ski di sini...dok ulang-ulang macam radio buruk...
adalah segelintir daripada kami yang ikut serta...


Tour guide punya sikap pun satu hal juga.  Bosan sungguh bila beliau tidak boleh bertolenrasi, hendak bergurau pun tidak kena gaya...kasar, nak juga aku hempuk dia nih.  Paling tidak menahan, bila beliau dok paksa dalam halus jemaah main ski.  Bayaran yang dikenakan bukannya murah.  Bengong dia nih.

Ada jemaah rombongan yang tidak reti hendak 'manage' masa.  Satu kapel ini bawa bayi masih kecil, lantaklah mereka bawa siapa pun tapi yang mengjengkelkan mereka tidak pandai hormati 'masa' jemaah lain yang sudah jenuh menunggu dalam bas.  Kegagalan  mereka menepati masa menyebabkan kelewatan sampai ke destinasi seterusnya.  Saya 'stress' dengan orang yang tidak pandai menghargai masa.

empunya badan tegap berdiri berfoto kenangan
berlatarbelakangkan skiers dan putih salji...

Bila mengikuti rombongan yang agak besar bilangan tambahan jemaah perempuan ramai yang sedikit pprt maka macam-macam lah pe'elnya.  Sinun dok pok pek pasal sinin...sinin dok sok sek pasal sinun.  Rimas wehhh.

Bila rakan sebilik pun ada agenda tersendiri maka parah lah.  Haru biru 'trip' saya.  Tindak-tanduk beliau kurang molek mengundang percakapan daripada jemaah lain.   Bila khabar ini sampai ke telinganya maka sentap lah pulak.  Dari Korea sampai lah KLIA dok muncung sedepa.

 tidak silap saya ini kawasan istana presiden...
salah seorang mak guard sedang berkawal...
masing-masing sudah rupa ninja...huhuhu...

Tobat dah, tidak ingin saya pergi berjalan dengan dia  lagi...rosak mood saya.   


Sunday, 2 June 2013

memori sepintas lalu~sambungan...


Bandung...

selamat datang ke Bandung...kami pergi dengan 
airasia...nak dijadikan cerita...ada seorang penumpang 
yang sebetulnya destinasi beliau adalah Solo...
entah macam mana beliau boleh terlepas berada 
dalam pesawat ke Bandung...'ground staff' tidak
menjalankan tugas mereka dengan teliti...mungkin...

Pak Ayi, pemandu kami tidak kalah mahu posing...

kami bertembung dengan anak-anak sekolah ini...
mereka melakukan lawatan sambil belajar sedangkan
kami singgah untuk menghabiskan masa sementara
menunggu kedai-kedai mula beroperasi 
pada pagi itu...

Kami singgah di satu tempat bernama Gua Jepang.  Memang kami memasuki gua peninggalan tersebut, kalau hendak bukti bergambar memang tiada sebab di dalamnya sangat gelap gelita.  Kami hanya bertemankan lampu suluh menerangi sehinggalah  kami keluar daripada gua tersebut.

buah kelapa dilorek-lorek maka jadilah bentuk 
sebegitu rupa...


Cairo...

Singgah untuk beberapa jam di Cairo, transit daripada Morocco.  Airport Cairo...salah satu airport yang paling lembab servis mereka.  Andainya saya dianugerah rezeki untuk pergi makan angin, saya tidak mahu singgah di airport ini lagi.

Sekadar 'city tour' di sekitar bandar Cairo.  Berkesempatan di bawa untuk melihat dari dekat piramid yang tersohor seentero dunia nan fana, di samping melawat beberapa tempat yang lain.

sebahagian daripada piramid...

'seven wonders of the world'
piramid...

macam mana kepakaran dan genius orang dulu-dulu
mencipta dan membina piramid daripada 
batu batan sangat mengkagumkan...


bersambung...



Saturday, 1 June 2013

memori sepintas lalu...

Kembara saya ke negara-negara ini berlansung beberapa tahun dahulu.  Saya katakan catatan ini sudah basi namun bila saya tengok balik foto-fotonya, sedikit demi sedikit kenangan menggamit.

Beijing...

di lobi hotel...masa ketibaan hampir dengan
sambutan tahun baharu cina jadinya hiasan-hiasan
cantik terhias di hotel dan di tempat dilawati jua...
di salah satu sudut Tiananmen Square yang
banyak lakaran sejarahnya...

wanita yang pose menyeget  itu adalah tour guide kami,
Ibu Lim yang fasih berbahasa melayu...

suasana di jalanraya  kota Beijing...

foto ini terakan di mana ya?...seingat saya kami ada
singgah di masjid untuk solat...ini kah masjidnya?...
tidak pasti dan tidak faham apa yang ditulis
di 'signboard' itu...

kami makan tengahari di dalam bangunan ini
di tingkat atas...usai makan, tanpa berlengah kami
turun untuk jengok-jengok apa yang berkenan...
sudahnya saya rembat 'bookmarker' sahaja...

'seven wonders of the world' 
sebahagian daripada tembok besar...terchungap juga
hendak sampai ke atas sedikit daripada posisi adik
berjaket merah jambu ini...

 beca sudah sedia untuk membawa kami
ronda-ronda...

stadium olimpik dari kejauhan...belum siap 
sepenuhnya waktu ini...

kedua tempat bersejarah ini saya lupa namanya...

Bersambung...


Mohon izin dan halalkan foto rakan rombongan dikongsi di sini.  Terima kasih.