Wednesday, 19 December 2012

memori Spain 0.1



Kalau diberi peluang untuk 'revisit' Eropah maka Spain menjadi pilihan. Saya jatuh hati dengan Spain.  Sesuatu yang sentimental di sini merangsang serta menggamit saya untuk kembali ke negara Andalusia ini. Ada sesiapa yang hendak sponsor saya, silakan jangan malu-malu...hehehehe. 
Berbekalkan kamera 'cap ayam' maka hasilnya pun sekadar biasa-biasa sahaja.  Kecewa sungguh. 

Madrid
Bersama rakan-rakan rombongan




Malamnya kami 'merendek' naik tren ke bandar
ini...terserempak dengan pemuzik jalanan,
dibaluti kostum menarik

Cordoba
Suatu ketika dahulu bangunan tersergam
gah ini merupakan sebuah masjid, kini ia adalah
sebuah gereja...visual dirakam di luar bangunan
 Sudut-sudut menarik diabadikan di dalam dan kawasan
sekitar




Granada
Sekadar berhenti sekejap untuk berfoto
kenang-kenangan
Ada ciri-ciri islamik pada senibina bangunan ini




Mohon izin dan halalkan gambar rakan rombongan dikongsi di sini.  Terima kasih.







Tuesday, 18 December 2012

lima puluh satu...


Hari ini hari lahir saya.  Alhamdulillah sujud syukur ke hadrat illahi masih memberi peluang untuk saya menikmati detik istimewa ini.  Jua sujud syukur kepadaNya yang saya ini masih diberi kesejahteraan kesihatan, limpahan rezeki serta kehidupan yang tidak membebankan, diharungi sendirian. Namun kerisauan macam-macam tetap muncul walau mata pejam sekalipun.
 
Apapun, tiada apa istimewa mengiringi hari ini.  Tiada mesej-mesej daripada sesiapapun. Saya sudah tua tiada siapa menyayangi lagi. Tuhan Allah swt mengasihi dan menyayangi saya, itu sudah pasti.  KepadaNya saya merintih, mengadu domba, berserah.  Pasrah dengan qada dan qadar. 
 
Apa yang saya lakukan hari ini?  Saya rajinkan diri untuk lakukan aktiviti me-roti.  Seronok pula buat roti.  Uli dan siapkan doh asas,  selepas itu pandai-pandailah bentukkan doh tersebut.  Hasilnya beberapa bentuk tercipta.  Puas hati bila kejadian roti menjadi.
 
Beberapa bentuk kejadian terhasil dengan jayanya

Saturday, 1 December 2012

lopat tikam! mana kerisnya?...


Entah, saya tidak pasti macam mana orang dulu-dulu boleh namakan kuih ini sebegini.  Yang benarnya kuih ini sedap,  rasa sepotong lepas itu hendak makan lagi. Kuih versi ini di perbuat daripada tepung beras, lapisan kaler hijau dilapis dan dikukus terus dengan kepala santan kaler putih, dimakan bersama pulut dan air gula merah. Makan tanpa pulut pun sedap jua.

Kalau versi Kelantan, teknik masakan sedikit berbeza yang mana kepala santan yakni lapisan putih dimasak berasingan dengan lapisan hijau.
 

Lopat Tikam (sumber: forumer@cari)

Lapisan bawah (hijau)

Bahan-bahan:
1 cawan tepung beras
1sb tepung jagung
3 cawan santan cair (saya guna santan kotak)
1/2 cawan jus pandan + pewarna hijau
1sk air kapur
sedikit garam

Cara-cara:
Panaskan pengukus.
Masukkan semua bahan-bahan ke dalam mangkuk, sebatikan dan tapis.
Masak adunan sebentar di atas api kecil.
Tuang ke dalam acuan yang telah disapu minyak masak  atau dilapik
dengan plastik dan kukus selamat 20 minit.
Apabila masak cakar-cakarkan bahagian atas kuih supaya lapisan atas nanti
  mudah  melekat.
 
Lapisan atas (putih)

Bahan-bahan:
1 1/2 cawan tepung beras
4 cawan santan pekat (santan kotak)
1sb tepung jagung
1sk garam

Cara-cara:
Masukkan semua bahan-bahan ke dalam mangkuk, sebatikan dan tapis.
Masak adunan sebentar di atas api kecil.
Tuang ke dalam loyang yang berisi lapisan hijau dan kukus sehingga masak.
Kuih hendaklah betul-betul sejuk baharu dipotong dengan pisau plastik.


Penyediaan pulut (sumber: encik google...sejujurnya saya lupa blog siapa)

Bahan-bahan:
1 1/2 cawan beras pulut
santan cair secukupnya (santan kotak)
sedikit garam
pewarna merah (saya guna pink, kaler merah tiada)

Cara-cara:
Beras pulut direndam, dititis dengan pewarna selama 10 minit.
Santan cair dicampur garam, sebatikan.
Panaskan pengukus...beras pulut yang direndam tadi ditoskan airnya.
Masukkan ke dalam pengukus dan kukus selama 15 minit.
Pulut yang hampir masak di keluarkan daripada pengukus dan
   di arung dengan santan cair, dikukus kembali sehingga masak.

Penyediaan air gula merah

Bahan-bahan:
1 cawan gula merah
1 cawan gula putih
2 cawan air
1 helai daun pandan

Cara-cara:
Campur kesemua bahan-bahan ke dalam kuali dan masak sehingga ianya pekat.
Tapis air gula  sebelum digunakan.


Mohon izin dan halalkan resepi dikongsi di sini.  Terima kasih.